SEJARAH KAMPUNG RUNGKUP
 
Nama RUNGKUP diasaskan daripada keadaan pokok - pokok yang terdapat di sepanjang sungai. Keunikan pokok-pokok 
berkenaan adalah kerana kedudukan dahan-dahan dan daunnya yang 'merungkup' (meredup atau pepohon yang
seolah-olah bercantum). Rungkup kini terbahagi kepada 3 kampung iaitu Kampung Rungkup Kecil, Kampung 
Sungai Burong dan Kampung Simpang 4 Rungkup. Pernah dijadikan pusat pentadbiran British dan jepun 
ketika menduduki Tanah Melayu pada tahun 1942-1946.
 
 
SEJARAH KAMPUNG RUNGKUP KECIL
 

Kampung Rungkup Kecil mula diterokai sejak lebih 100 tahun yang lalu. Lebih dikenali sebagai “Coconut Paradise” atau syurga kelapa, Kampung Rungkup Kecil terkenal dengan kualiti hasil
kelapa yang terbaik di Malaysia dan pernah menjadi komoditi utama negara suatu ketika dahulu.Terdiri dari tiga buah kampung iaitu Kampung Rungkup Kecil sebagai kampung induk manakala
Kampung Simpang Empat Rungkup dan Kampung Sungai Burung merupakan kampung rangkaian. Mengikut catatan sejarah melalui percakapan orang-orang terdahulu, kampung Rungkup Kecil
mula diterokai oleh dua orang pengembara dari negeri Selangor yang bernama Anjang Kamar Basri bersama sahabatnya yang bernama Panglima Hitam dengan menaiki sampan menyusuri persisiran
pantai Laut Selat Melaka, namun tidak terdapat catatan sejarah yang direkodkan. Keadaan tempat mereka mendarat ketika itu dipenuhi dengan hutan paya bakau dimana kebanyakan pokok-pokoknya
bertemu daun antara satu sama lain dan ada yang mencecah bumi (merungkup). Berikutan itu mereka menamakan kampung ini sebagai Rungkup dan kekal hingga ke hari ini. Pentadbir asal kampung
ini menamakan Kampung Simpang Empat Rungkup yang merangkumi empat buah kampung iaitu kampung Simpang Empat Rungkup, Kampung Sungai Lancang, Kampung Rungkup kecil dan Kampung
Sungai Burung didalam Mukim Rungkup. Apabila penduduk kampung bertambah, pihak pentadbir telah membahagikan kepada dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Lancang dan Kampung Rungkup
Kecil dalam Mukim Rungkup kekal hingga ke hari ini. Suatu ketika dahulu, kuala sungai Rungkup pernah dijadikan pelabuhan kecil dimana pedagang - pedagang kelapa menjalakan aktiviti jual beli kelapa kering.

 
 

 
SEJARAH KAMPUNG SUNGAI LANCHANG
 
 
Dua tahun selepas perang antara Selangor dan Pahang, penduduk Kuala Selangor telah berpindah dengan menyusuri Pantai 
Selat Melaka yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman Bin Malak dan Dindanya Aim Bin Malak, sehingga mereka sampai 
di kuala sungai. Mereka telah meneroka hutan di kawasan ini dan membina sebuah sampan kecil yang menyerupai sebuah 
Lanchang, setelah sampan ini siap mereka telah mengisi sampan tersebut dengan beberapa jenis kuih-muih dan menghanyutkan 
sampan atau Lanchang tersebut ke laut melalui sungai mengikut cara keturunan bugis. Mulai dari saat itu, Tuan Haji Abdul 
Rahman Bin Malak dan adiknya, menamakan kawasan yang mereka terokai itu dengan nama Kampung Sungai Lanchang 
dan kuala sungai tempat mereka melepaskan sampan dinamakan Kuala Sungai Lanchang.
 
Sumber : Jkkk Dan HomestayBagandatoh